Thursday, October 13, 2011

GUNA KOSMETIK TANPA WAS-WAS

Ili Zawani di samping produk kosmetik FCC yang berstatus halal.

SEKALIPUN mahu kelihatan cantik, wanita Muslim perlu berhati-hati supaya tidak terjebak menggunakan produk kosmetik tidak halal.

Kehadiran Farmasi Colours Cosmetic (FCC) dari Turki yang dijamin halal dalam pasaran Malaysia sejak tiga tahun, sebenarnya telah memberi peluang kepada wanita di negara ini untuk menggunakan kosmetik tanpa was-was.

Pengarah Eksekutif di Naturalife Solution Sdn. Bhd., Ili Zawani Datuk Ismail, 24, berkata, beliau juga tidak menyangka usahanya membawa masuk FCC di negara ini akhirnya telah membawa kejayaan yang diharapkan.

Lagi pun katanya, nama FCC sudah lama terkenal di 50 buah negara di seluruh dunia.

''Sambutan pelancaran FCC sejak tahun pertama lagi sudah di luar jangkaan,'' katanya ketika ditemui di pejabatnya di No 6-2, Jalan USJ 21/7, USJ 21, Business Centre, Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Bagaimanapun jelas gadis berusia 24 tahun ini, beliau juga tidak menjangka akan menjadi 'taukeh kosmetik' di usia yang masih muda.

Kata Ili Zawani, walaupun sebelum ini beliau bukannya seorang yang suka menggenakan solekan kecuali pada majlis tertentu sahaja, FCC membuatkan beliau mula mendalami seni solekan.

''Biasanya sebelum ini saya lebih sukakan gaya sederhana iaitu hanya memakai bedak, pembayang mata dan gincu bibir sahaja apabila keluar rumah,'' ujar anak kedua dari tiga adik beradik ini.

Ceritanya pembabitan awal dalam dunia perniagaana bermula ketika beliau berada pada tahun akhir ketika mengikuti kursus sijil tambahan daripada badan perakaunan profesional, The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) di Kolej Universiti Sunway.

''Ayah pula secara tiba-tiba sahaja menyerahkan tanggungjawab menerajui Naturalife Solution yang ketika itu menghadapi masalah disebabkan tidak diuruskan dengan baik,'' katanya.

Bagaimanapun IIi Zawani mengakui tidak dapat menolak hasrat ayahnya itu sekalipun ketika itu beliau tidak berada di dalam keadaan bersedia untuk menjadi usahawan.

''Hasil dari pembacaan di dalam Internet akhirnya saya terjumpa dengan satu jenama kosmetik yang dikeluarkan dari Istanbul, Turki,'' katanya.

Katanya, daripada pertemuan dengan pengeluar akhirnya Ili Zawani mendapat peluang sebagai pengedar kosmetik FCC dan yakin FCC mampu bersaing dengan jenama kosmetik lain yang telah lama berada di negara ini memandangkan ia berstatus produk halal.

Di samping itu, katanya, pengguna juga mempunyai banyak pilihan dengan menikmati kualiti kosmetik yang setaraf dengan jenama terkenal.

"FCC memberikan pilihan ini kepada pengguna dan ternyata daripada sambutan yang diberikan menunjukkan kosmetik ini semakin diterima wanita Malaysia,'' ujarnya.

Bagaimanapun kata Ili, setakat ini kosmetik FCC hanya boleh dibeli di pusat membeli-belah tertentu seperti Parkson, Jusco dan terbaru di Carrefore, Subang Jaya.