Monday, September 26, 2011

KELAINAN KOSMETIK FARMASI (FCC)



KOSMETIK FARMASI DARI TURKI

Kosmetik dari Istanbul, Turki ini mampu menambat hati pengguna wanita dengan variasi yang ditawarkan.

Lambakan pelbagai jenis alat kosmetik di pasaran membuatkan ramai pengguna rambang mata untuk memilih produk yang sesuai untuk mereka.

Bagi yang mempunyai sumber kewangan yang kukuh, sudah pasti tiada masalah untuk mendapatkan produk berjenama yang dijual pada harga yang tinggi. Namun, tidak semua individu mampu memiliki produk kosmetik import.

Menyedari perkara itu, maka lahirlah Farmasi Colour Cosmetics, satu jenama alat solek yang diimport dari Turki dan dipasarkan oleh Naturalife Solution Sdn. Bhd. milik gadis muda berusia 23 tahun, Ili Zawani Datuk Ismail.

Menurut Ili yang lebih gemar membahasakan dirinya sebagai Wani, kebanyakkan jenama kosmetik yang terdapat di pasaran Malaysia berasal dari Eropah dan negara-negara Barat yang lain.

“Oleh itu, apabila merancang untuk melibatkan diri dalam bidang kecantikan seperti ini, saya memilih untuk memasarkan produk Farmasi Colour Cosmetics yang mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Di samping itu, saya ingin membawa kelainan kepada pengguna wanita dengan menawarkan kosmetik ini yang disahkan halal oleh Kementerian Kesihatan Turki. Ini kerana ia tidak mengandungi lemak atau gelatin haiwan serta alkohol,” jelas Wani selepas majlis pelancaran rasmi produk tersebut di Sunway Resort Hotel & Spa, Bandar Sunway baru-baru ini.

WANI (kiri) ketika melancarkan kosmetik jenama Farmasi di Bandar Sunway, Selangor.

Dengan tagline "It's Sexy, It’s Glam, It’s FARMASI…" ternyata kosmetik itu berjaya menarik perhatian masyarakat Malaysia apabila menerima sambutan menggalakkan meskipun baru setahun berada di pasaran tempatan.

Bagaimanapun, untuk produk seperti semburan pewangi, krim mandian, minyak dan krim badan pula, ia telah mula dipasarkan sejak 2006.

Tambah Wani, kosmetik Farmasi yang boleh dipakai ketika bersolat ini mula dicipta sejak 200 tahun dahulu untuk golongan kerabat diraja di Turki. Ketika itu, ia hanya mampu digunakan oleh golongan bangsawan sahaja.

Namun, seiring dengan peredaran zaman, kosmetik Farmasi mula direka untuk membolehkan ia dipakai oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira pangkat atau darjat.

Kini, rangkaian produk itu mempunyai lebih daripada 500 variasi yang boleh didapati di kaunter-kaunter jualan di pusat beli-belah termasuk Jusco dan Parkson pada harga RM8.90 sehingga RM59.90. Ternyata ia harga yang mampu dimiliki semua pihak.

Ujar Wani lagi, berdasarkan respons daripada rakan-rakan dan pengguna, pihaknya mendapati bedak asas menjadi antara produk yang menjadi kegemaran pelanggan.

Perkara ini diakui oleh pelakon dan pengacara Sazzy Falak yang berkata, bedak asas keluaran kosmetik Farmasi mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Apabila pertama kali memakainya, saya dapat rasakan kelainan produk ini. Malah, boleh dikatakan saya jatuh cinta dengan bedak asas Farmasi. Tambahan pula, harganya amat berpatutan,” kata Sazzy yang menjadi pengacara majlis pelancaran produk itu.

Sementara itu, rata-rata jurusolek profesional seperti Nurul Shukor, Saidatul Nisa, Tia Zainal, Dik Sha dan Ezral yang ditugaskan menata rias wajah-wajah artis yang hadir pada pelancaran produk tersebut menggemari variasi yang ditawarkan oleh kosmetik ini.

“Saya bersikap terbuka dengan menjemput juru solek artis terkenal untuk mencuba jenama ini dan memberi komen seandainya ada kekurangan. Dengan komen-komen itu, kami boleh menambahbaik produk agar sesuai digunakan oleh wanita di Malaysia.

“Selepas diberi pilihan untuk menggunakan apa sahaja alat solek di bawah jenama Farmasi, ramai jurusolek profesional memberi reaksi positif terhadap produk kami. Ia satu khabar gembira dan kami amat berharap jenama kosmetik Farmasi akan setanding dengan jenama lain yang telah terkenal,” tutur Wani sambil tersenyum.

Mensasarkan jualan sebanyak RM6 juta bagi tahun ini, Wani berkata, matlamat itu akan dilakukan seiring dengan promosi secara besar-besaran di media cetak dan elektronik.

Selain itu, Wani menambah, pihaknya juga merancang untuk meluaskan pasaran kosmetik Farmasi di Indonesia dan seterusnya menjadi pengedar tunggal jenama Farmasi di rantau Asia Tenggara.

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my